Pages

7 tanda Isteri derhaka pada suami

Assalamualaikum,

BE ingin berkongsi kepada wanita yg bergelar isteri dan bakal jd isteri. Bagi wanita harus menjaga hati suami walau apa cara sekalipun.. Peringatan untuk anda dan juga untuk diri BE. Cerita ni agak panjang tp seelok-eloknya bacalah dr mula sampai habis ye.. (^_^)


Sesungguhnya, beruntung menjadi seorang isteri kerana diberikan ruang dan peluang yang maha luas untuk mendapat tempat di syurga. Dosa isteri ditanggung oleh si suami dan si isteri pula diberikan tempat tinggi di sisi Allah apabila mereka juga bergelar ibu. Syurga di bawah telapak kaki ibu, begitulah nilai seorang ibu buat anak-anak. 

Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallah r.a bermaksud :
"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?"
Baginda menjawab : "Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya".
Kemudian aku bertanya lagi : "Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?"
Baginda menjawab : "Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."
(Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud : 
"Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya."
(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Antara sebabnya ialah mudahnya si wanita bergelar isteri melakukan kederhakaan kepada suaminya. Mungkin tak sedar, tetapi begitulah manusia, sering terbabas ke kancah khilaf akibat nafsu dan hasutan. Wahai isteri, sesungguhnya kedudukan si isteri adalah bersama suaminya. Betapa buruk dan teruk pun suami itu, adalah tanggungjawab isteri untuk menghormati dan memperbetulkan kesilapan si suami. Ingatlah syurga bagi isteri adalah terletak pada suaminya sendiri...

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka.

Terdapat 7 tanda-tanda awal isteri derhaka kepada suami.
1 - Menghina atau mengumpat suami
Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap isteri. Jika membuka rahsia suami dianggap menjejaskan kewibawaan suami, apatah lagi menghina atau mengumpat suami.

2 - Mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain
Sifat ini terlalu berat dan buruk untuk ditanggung oleh seorang suami. Si isteri tidak sepatutnya dalam apa keadaan sekalipun mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain. Adalah sepatutnya kita sebagai isterisentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah saw bersabda :
Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain isteri yang solehah.

3 - Isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami
"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."
(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat) 

4 - Isteri mendoakan kecelakaan buat suami
Isteri yang solehah adalah isteri yang sentiasa mendoakan kebaikan, kesejahteraan dan rahmat Allah swt bagi suaminya dan bukannya sebaliknnya. 

5 - Membenci kegemaran suami
Mengakui dan menerima kenyataan bahawa suami adalah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga. Tiada siapapun yang menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri. Satu kurniaan Allaw swt yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan anak-anaknya. Sememangnya ada ketika dan masa kita rasa kehendak kita sebagai isteri tidak dipenuhi sewajarnya. Namun yang demikian itu tidak bermakna kita dengan sewenang-wenangnya berhak menafikan kesukaan atau kegemaran si suami.

Firman Allah :
Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa : 34)
6 - Menjadi tekanan kepada suami
Tidak dinafikan keadaan ekonomi hari ini adakalanya mampu memberi impak besar kepada sesebuah institusi kekeluargaan. Namun begitu, si isteri perlu bersikap bijaksana dan rasional dalam mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami. Di samping itu juga, adalah lebih baik jika si isteri sama-sama membantu menguruskan rumahtangga agar ini dapat mengurangkan tekanan kepada si suami.

Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya.
(Riwayat Ibnu Majah)

7 - Mengungkit-ungkit janji suami
Redha dan bersyukurklah dengan setiap pemberian suami. Sesungguhnya itulah nikmat dan rezeki yang terbaik bagi isteri.

Sabda Rasulullah saw :
"Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah saw ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."
(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda dan bermaksud :
"Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."
(Riwayat Muslim)




No comments:

Post a Comment

Thank you for dropping at Aini's blog.

Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

For further inquiry kindly email me at noorainimohdhalim@gmail.com

Happy Blogging (^_^)

Labels

Followers