Berzikir
dan berdoa selepas Solat Fardu merupakan suatu amalan sunnah yang dituntut.
Amalan ini diisyaratkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla di dalam al-Quran
al-Karim menerusi firman-Nya:
فَإِذَا فَرَغۡتَ فَٱنصَبۡ
Maksudnya: “Dan apabila kamu selesai melaksanakan
apa-apa sahaja urusan dunia, maka mulailah beribadah. Dan serahkan dirimu
kepada Tuhanmu.”
(Surah al-Syarh: 7-8)
Ayat di
atas ini merupakan dalil bagi pensyariatan berdoa serta berzikir kepada Allah
SWT setiap kali setelah selesai melaksanakan solat-solat fardhu. Imam Ibn Jarir
al-Tabari meriwayatkan menerusi sanadnya daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma
bahawa beliau menafsirkan ayat di atas sebagai maksudnya adalah, apabila kamu
telah selesai melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas kamu; maka
mintalah kepada Allah; tumpukanlah sepenuh perhatian kepada-Nya dan tunduk
penuh perhatian kepada-Nya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran,
24/497)
Sepertimana
yang kita sedia maklumi, zikir-zikir dan doa-doa Nabi SAW selepas solat-solat
Fardhu adalah merangkumi zikir-zikir dan lafaz-lafaz puja dan puji kepada Allah
SWT sebagai sebuah adab sebelum memohon sebarang hajat permintaan kepada-Nya.
Pokoknya, doa kepada Allah SWT itu seiring dengan zikir pujian ke hadrat-Nya.
Waktu
selepas Solat Subuh adalah waktu Siang yang paling afdhal untuk berzikir. Imam
Muhyiddin al-Nawawi berkata sedemikian:
اِعْلَمْ أَنَّ أَشْرَفَ أَوْقَاتِ الذِّكْرِ فِي النَّهَارِ، الذِّكْرُ بَعْدَ صَلَاةِ الصُّبْحِ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa waktu yang paling
mulia untuk berzikir pada waktu siang; adalah berzikir pada waktu selepas Subuh.”
(Lihat al-Azkar, hlm. 74)
Perkara
ini berdalilkan firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim:
وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِها
Maksudnya: “Dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu
sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya.”
(Surah
Taha: 130)
Berhubung
soalan di atas, kami bawakan zikir khusus selepas Solat Subuh bersumberkan
daripada Imam Ibn Hajar al-Haitami daripada kitab al-I‘ab Syarh al-‘Ubab
al-Muhit li Nusus al-Syafi‘i wa al-Ashab (1/346) dan juga Hilyah
al-Abrar wa Syi‘ar al-Akhyar fi al-Talkhis al-Da‘awat wa al-Azkar oleh
Imam al-Nawawi (hlm. 75-76); bahawa zikir-zikir khusus selepas Subuh adalah
seperti berikut:
1. Mengucapkan sepuluh kali Kalimah Tauhid dengan bentuk lafaz seperti ini:
لَا إِلَهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “Tiada Tuhan yang benar selain Allah,
satu-satunya Dia sahaja, tiada sekutu bagi-Nya. Hanya Milik-Nya Kerajaan, hanya
bagi-Nya segala puji. Dia Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan. Dan Dia
Maha Berkuasa melaksanakan segala sesuatu.” (10 kali)
Riwayat
al-Tirmizi (3474); dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi dalam
al-Jami‘ (5/461)
Zikir
Kalimah Tauhid ini juga dibaca dengan bilangan yang sama selepas Solat Maghrib.
Keutamaannya adalah sepertimana yang Rasulullah SAW jelaskan iaitu:
·
Ditinggikan martabat sebanyak sepuluh kali ganda darjat,
·
Dilindungi daripada segala keburukan,
·
Dipelihara daripada syaitan,
·
Dipelihara daripada melakukan dosa pada hari tersebut.
Ia
perlu dibaca sebelum seseorang bercakap urusan duniawi dengan orang lain, dan
dalam keadaan masih duduk bersimpuh secara tawarruk (duduk tahiyat
akhir), tanpa mengubah posisi.
2.
Mengucapkan tujuh kali Doa Memohon
Perlindungan Daripada Api Neraka seperti ini:
اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah diriku daripada api
neraka.” (7 kali)
Riwayat
Abu Daud (5079); dinilai soleh oleh Imam Abu Daud dalam al-Sunan
(4/320) kerana beliau mendiamkannya, dinilai dha‘if oleh Syeikh
al-Albani, dan dinilai hasan oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam tahqiq
al-Azkar (75)
Zikir
Doa Mohon Jauh Daripada Api Neraka ini juga dibaca dengan bilangan yang sama
selepas Solat Maghrib sepertimana yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu
Daud di atas.
3.
Mengucapkan Doa Khusus Selepas Solat Subuh
seperti di bawah:
اللَّهُمَّ بِكَ أُحَاوِلُ، وَبِكَ أُصَاوِلُ، وَبِكَ أُقَاتِلُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً، وَرِزْقاً طَيِّباً
Maksudnya: “Ya Allah, kerana-Mu aku berusaha, kerana-Mu
aku berjuang, kerana-Mu aku berlawan. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu;
kurniakanlah daku ilmu yang bermanfaat, amal yang diterima serta rezeki yang
baik.”
Riwayat
Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (117); al-Darimi
dalam al-Musnad (2485); al-Syasyi dalam al-Musnad
(992); Ibn Jarir al-Tabari dalam Tahzib al-Athar (153) dinilai sahih
sebagai doa bacaan Nabi SAW ketika Perang Hunain oleh Syeikh al-Albani dalam al-Ta‘liqat
al-Hisan (7/137), Syeikh Hussain Asad menilainya sahih dalam tahqiq
Musnad al-Darimi (3/85)
Semoga
Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk
melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan
memelihara orang-orang yang soleh.
Kami
akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْتَ عَلَيَّ شِقْوَةً أَوْ ذَنْبًا فَامْحُهُ، فَإِنَّكَ تَمْحُو مَا تَشَاءُ وَتُثْبِتُ، وَعِنْدَكَ أُمُّ الْكِتَابِ، فَاجْعَلْهُ سَعَادَةً وَمَغْفِرَةً
Maksudnya: “Ya Allah, sekiranya Engkau telah tetapkan
aku sebagai celaka atau akan melakukan dosa, maka padamlah ketentuan itu.
Sesungguhnya Engkau yang berhak memadam dan mengekalkan segala perkara, dan
sisi-Mu jualah Umm al-Kitab itu. Maka, jadikanlah aku tertulis di dalamnya
sebagai bahagia dan beroleh keampunan.”
Wallahu a‘lam.
Sumber:
No comments:
Post a Comment
Thank you for dropping at Aini's blog.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.
For further inquiry kindly email me at noorainimohdhalim@gmail.com
Happy Blogging (^_^)